Dalam Al-Quran Allah berfirman:
Maksudnya:
"Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya." (Mulk: 2)
Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:
1.Tuhan jadikan mati dan hidup
2.Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya.
Kalaulah
kita yang sebut ayat ini, bukan Tuhan yang menyebutnya tentu kita
berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati.
Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati
dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun
satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan.
Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu,
hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu
tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud,
tidak secara suka-suka.
Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan
tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak
tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih
daripada soal hidup. Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara.
Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah
tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat.
Cuba kita
analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam
kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti
apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga
menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak
ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya.
Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai
usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru
sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah.
Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara
puratanya umur 12 tahun.
Kita akan kira dari umur kita 12 tahun.
Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi
hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi
katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu
sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun
sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000
orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat
hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah
itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun
Di sini
Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun
kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50
tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar,
pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam
masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji
oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka
selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun
hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.
1. Penderitaan sewaktu mati
Mati
ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di
ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, "Si Polan itu nampaknya
senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja," itu
kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah
berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam
syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang
hendak mati bukan kita tahu.
Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
- mata terbeliak
- telinga kembang
- berbunyi macam kerbau berdengkur
Itulah
di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang
gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan
istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu
tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang
yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala
susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50
tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah
sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang
hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang
pertama dihadapi adalah penderitaan mati.
Hadis juga ada
menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang. Bayangkan kalau
sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu
terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun
nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat
300 tetakan.
2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam,
Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik,
setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan
kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia
boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang
mati itu akan bertanya, "Kau siapa?" Lembaga itu akan menjawab, "Aku ini
kejahatan engkau." Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula,
bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70
hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan
terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?
3. Penderitaan Padang Mahsyar
Antara
penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas
ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran
diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat,
padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga
peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?
4. Penderitaan Neraka
Penderitaan
paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal
Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di
antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan
dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada
di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka
ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap
hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api
Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka,
bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun,
3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?
Jadi orang yang waktu
hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji
Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu
kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun
tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang
empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar
kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi
tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti.
Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru
dunia.
Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila
disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk
memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh.
Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau
nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau
di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir
jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup
belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar
susah dahulu asalkan senang kemudian.
Nisbah kehidupan di dunia,
manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi
nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat.
Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di
dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam
duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang
kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa
tidak buat untuk Akhirat begitu?
Penderitaan dunia dan Akhirat
itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di
dunia ini macam digigit nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa.
Walaupun sebenarnya kadarnya bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh
kita cuba bandingkan. Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup
ambil risiko dibaham singa mengapa? Sebenarnya bandingannya entah
berapa ribu kali ganda.
Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah
makan, apa yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke
mana? Tak ke istana tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat,
katalah kita makan epal, kita gigit kali pertama, lain rasanya, gigit
lagi kali ke dua sudah lain pula rasa, bertambah sedap, bertambah sedap
lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut, tidak ke tandas
selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak durian di
dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah, dalam
sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke
tandas! Betapa indahnya Akhirat!
Di Syurga, orang yang paling
lemah iman dapat 50 bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New
York, tapi tidak dapat digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah
orang hadiah kita 50 bandar macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan.
Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak
boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu pun tentu letih, jemu,
fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat, teringat sahaja
sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya lebih
tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata
boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York,
niat sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja
sudah sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang
tidak jatuh. Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak
takut.
Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya
bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua
isteri-isteri, kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk
Syurga sama, habislah. Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah.
Di Syurga kehidupannya tidak pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang
masa. Teringat gaduh pun tak. Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.
Di
Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun dahsyat, sebab itu Tuhan
sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia kecil tidak ada
harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai setakat sebelah
sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.
Kerana
dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka orang jahat diberi banyak,
siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang baik-baik, makin tidak
dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya perkara yang
tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk para
kekasih Tuhan, Tuhan berkata: "Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan di
Syurga."
Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat,
munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi
tumpuan pada Akhirat daripada dunia.
source:
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=735.60
Tidak ada komentar:
Posting Komentar